Friday, 20 May 2016

Kepentingan Teknologi Dalam Pendidikan




Aplikasi Media Sosial Dalam Pembelajaran Bahasa Inggeris: Persepsi Pelajar Universiti



Petikan artikel diambil dari kajian Kee Man Chuah melalui jurnal yang bertajuk; Aplikasi Media Sosial Dalam Pembelajaran Bahasa Inggeris; Persepsi Pelajar Universiti



Semakin berkembangnya teknologi, kewujudan internet telah membuka peluang kepada pelajar dalam proses pembelajaran khususnya untuk mendapatkan informasi yang diperlukan dengan mudah dan cepat. Internet juga tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan seharian masyarakat dimana ia memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan maklumat yang terkini pada masyarakat. Internet juga memainkan peranan yang signifikan terhadap pengajaran dan pembelajaran. 

            Seiring dengan peningkatan internet, media social adalah salah satu laman web yang telah banyak diperkatakan pada masa kini. Penggunaanya tidak terhad pada mereka yang muda malahan mereka yang berusia juga menggunakan aplikasi ini. Media sosial merupakan sebuah aplikasi yang memberikan penggunanya berinteraksi dan memberikan respons dengan sesama pengguna; membuat, mengedit dan memberikan informasi dalam berbagai bentuk (Prof. Neil Selwyn[2] ,2012). 


Menurut Kee-Man Chuah dalam kajiannya yang bertajuk “Aplikasi Media Sosial Dalam Pembelajaran Bahasa Inggeris: Persepsi Pelajar Universiti”, kewujudan aplikasi berasakan media social menyediakan suatu platform yang relevan bagi pelajar dalam perspektif pengajaran Bahasa berasaskan komputer. Melalui kajian yang telah beliau lakukan untuk mengenalpasti persepsi pelajar tentang penggunaan aplikasi media social dalam pengajaran Bahasa Inggeris, kajian menunjukkan bahawa melalui penggunaan media social seperti YouTube, Facebook, dan Twitter banyak maklumat dan perkongsian yang boleh mereka dapati. Berikut adalah merupakan antara tujuan yang diketengahkan penulis dalam kajiaannya iaitu;

                                i.            Mengenalpasti persepsi pelajar tentang penggunaan media social dalam pembelajaran Bahasa Inggeris, dan

                              ii.            Mengenal pasti kekuatan dan kelemahan penggunaan media social dalam pembelajaran Bahasa Inggeris.

Dapatan kajian yang dijalankan dibahagikan kepada dua bahagian dimana bahagian pertama ialah persepsi pelajar tentang penggunaan media social dalam pembelajaran Bahasa Inggeris, manakala bahagian kedua ialah senarai kekuatan dan kelemahan media sosial dalam proses pengajaran Bahasa Inggeris. Melalui bahagian pertama; didapati bahawa pandangan pelajar terhadap media sosial seperti Wiki, Facebook, Twitter dan Youtube memberi kesan yang positif kepada pelajar. 


Meskipun terdapat banyak kelebihan media sosial dalam proses pengajaran dan pembelajaran, namun penulis tetap mendapati bahawa terdapat beberapa kelemahan melalui penggunaan media sosial ini. Kelemahan yang disebutkan antaranya adalah isu pengawalan aktiviti pelajar ketika menggunakan media sosial. Isu akses kepada internet dan penggunaan “Bahasa internet” dan juga “Bahasa rojak” adalah merupakan perkara yang dapat menjejaskan penguasaan Bahasa para pelajar. Selain itu, isu kerahsiaan pelajar juga merupakan isu penting yang perlu di ambil berat melalui penggunaan media sosial oleh pelajar dan penulis berpendapat bahawa panduan penggunaan media sosial adalah perlu untuk memaksimumkan penggunaan media sosial. 



Pembangunan Perisian Cerita Animasi Interaktif untuk Pendidikan Sains


Petikan artikel diambil dari kajian Robiatul Adawiyah Jamaluddin dan Halimah Badioze Zaman dalam jurnal bertajuk: Pembangunan Perisian Cerita Animasi Interaktif Untuk Pendidikan Sains.









Penggunaan komputer multimedia dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah dengan matlamat meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran. Multimedia memudahkan guru untuk menyampaikan bahan pengajaran dan pembelajaran secara berkesan di bilik darjah. Dengan multimedia pendidik dan pelajar akan disediakan dengan pelbagai kaedah persembahan yang menarik. Suasana pengajaran dan pembelajaran yang interaktif, menggalakkan komunikasi aktif antara pelbagai hala. Berbanding pendidikan tradisional, guru atau pensyarah menggunakan buku teks, papan hitam atau putih, kapur tulis, peta, gambar dan suaranya sendiri untuk mengajar. 

Contoh penggunaan animasi dalam pembelajaran

Hari ini pengunaan bahan P&P multimedia telah diadaptasikan untuk memberi maklumat-maklumat tambahan dalam bentuk yang menarik kepada pelajar-pelajar. Perkembangan dan penggunaan multimedia, khususnya dalam pendidikan bukan lagi merupakan sesuatu yang asing di Malaysia. Pendidikan di Malaysia kini makin mencabar selaras dengan perkembangan teknologi yang pesat. Sebagai sebuah negara yang berwawasan maka bidang pendidikan merupakan aset penting untuk melahirkan pakar-pakar dalam sesuatu bidang dalam menuju ke arah sebuah negara berteknologi yang tinggi.


Menurut kajian yang dilakukan oleh Robiatul A’dawiyah Jamaluddin dan Halimah Badioze Zaman dalam jurnal bertajuk “Pembangunan Perisian Cerita Animasi Interaktif untuk Pendidikan Sains”, mereka mentafsirkan cerita interaktif sebagai satu bentuk hiburan interaktif yang mempunyai watak dan persekitaran yang dramatis. Menurut mereka lagi, idea penciptaan cerita interaktif ini adalah relevan untuk diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran memandangkan kebolehan kognitif kanak-kanak yang masih lemah. 


Penulis berpendapat bahawa pemikiran kanak-kanak adalah terhad dan menyebabkan mereka mengalami kesukaran untuk memahami maklumat baru berdasarkan konsep ‘scaffholding’ dari model ‘Zone Proximal Development’ dimana ia menyatakan murid perlu dibantu pada peringkat permulaan, dan kemudian diberi ruang kebebasan secara berperingkat sehingga mereka mampu berdikari. Melalui kajian penulis keatas murid dari kelas prasekolah, penulis mendapati bahawa terdapat banyak kemahiran pelajar yang mengalami peningkatan setelah menggunakan perisian cerita interaktif yang bertajuk myScience.



Perisian myScience terdiri daripada 4 modul utama iaitu Modul Bimbingan, Modul Penggayaan, Model Pengukuhan dan Modul Ujian. Modul-modul ini menggunakan kesemua elemen multimedia iaitu teks, grafik, animasi, audio dan video. Mengikut analisis data penulis, didapati bahawa terdapat peningkatan prestasi kemahiran yang berlaku dalam kalangan murid. Penulis menggunakan ujian Kolerasi Pearson untuk menilai hubungan diantara pemboleh ubah dalam kajian ini dan keputusan ujian tersebut menunjukkan hubungan signifikan diantara elemen perisian dengan kemahiran murid.








Penggunaan ICT Dalam Proses Pengajaran Dan Pembelajaran Di Kalangan Guru Sekolah Menengah Teknik Dan Vokasional: Sikap Guru, Peranan ICT Dan Kekangan / Cabaran Penggunaan ICT


Peranan Pendidikan pada abad ini amat mencabar kerana bidang ini mempunyai tanggungjawab yang besar bagi melaksanakan dasar peningkatan penggunaan IT dalam pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan perubahan zaman yang makin moden ini. Globalisasi ialah satu ideologi perubahan budaya, sosial dan politik yang dicetuskan oleh kemajuan pesat ICT. Perubahan ini memberi kesan sama ada positif dan juga negative kepada masyarakat di Negara yang membangun. ICT juga turut memberi kesan yang besar ke atas anjakan perubahan system dan pengurusan pendidikan di negara-negara membangun. ICT merujuk kepada teknologi seperti ‘hardware, software, telecommunication dan networks’.

            Perkembangan pendidikan baharu dalam pengetahuan ICT memerlukan anjakan peranan pendidikan dan profesion keguruan. Menguasai kemahiran teknologi maklumat mempunyai kepentingan-kepentingannya. Antaranya ialah, pengetahuan mengenai cara komputer digunakan dalam masyarakat, kesan kegunaannya terhadap social dan ekonomi serta kesannya terhadap kehidupan manusia. Selain itu, kebolehan membaca dan menulis dengan bahasa sendiri serta dalam definisi yang lebih luas, bukan sahaja setakat boleh membaca tetapi juga boleh menggunakan pengetahuan yang diperoleh daripada komputer dalam kehidupan seharian malahan tahu menggunakannya sebagai alat yang memudahkan kerja-kerja yang lain. Oleh itu, guru sebagai pendidik perlu bersedia meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka bagi menjadikan komputer sebagai teknologi pengajaran dan pembelajaran menggantikan pendekatan konvensional yang kurang berasakn inovasi teknologi kerana ketrampilan dalam ICT adalah satu kriteria penting dalam system pendidikan.

            Peranan dalam penggunaan ICT dalam Pendidikan adalah berupaya, meningkatkan kefahaman dan penguasaan guru dan pelajar terhadap pelajaran. Penggunaan ICT ini juga memberi peluang pembelajaran yang sama kepada semua pelajar yang pelbagai keupayaan. Selain itu, meningkatkan motivasi guru dan pelajar dan membolehkan pembelajaran sendiri serta mengakses maklumat yang sukar diperolehi. Mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan mencabar agar minat untuk mempelajari ICT dengan lebih mendalam lagi. Ia juga membolehkan pelajar mencuba atau melaksana eksperimen yang sukar, terlalu mahal, mustahil atau bahaya untuk dilakukan dengan cara yang biasa.
           
Dalam penggunaan ICT dalam Pendidikan juga mempunyai kekangan dan cabaran yang perlu dihadapi. Antara kekangannya ialah sikap negatif guru kerana guru telah terbiasa dengan menggunakan kaedah tradisional dan sukar bagi mereka untuk membuat penyesuaian dengan teknologi. Selain itu, kekangan dalam menghabiskan silibus kerana sesetengah guru kurang dan tidak tahu menggunakan komputer untuk membantu pengajaran dan pembelajaran. Bagi mereka juga penggunaan internet memerlukan masa yang lama untuk dilayari dan diakses walaupun dari segi sikap mereka yang bersedia menggunakan komputer dalam pengajaran. Selain daripada itu, kekurangan perasarana dan bahan sokongan. Hal ini disebabkan, kemudahan komputer yang tidak seragam di sekolah. Ada yang meletakkan komputer di dalam bilik darjah, ada  juga di dalam makmal. Selain itu, kemudahan komputer terhad di sesetengah sekolah terutamanya sekolah di bahagian luar bandar.



Kesimpulannya, penggunaan ICT dalam bidang pendidikan adalah selaras dengan hasrat Malaysia untuk meningkatkan kualiti pendidikan bertaraf dunia. Peranan institusi pendidikan bagi meningkatkan kadar celik komputer yang melibatkan pengetahuan dan kemahiran komputer ke arah melahirkan masyarakat siber bergantung pada profesion keguruan. ICT menyediakan peluang kepada golongan guru untuk mempelajari sesuatu perkara dan kaedah baru dalam proses pembelajaran serta pengajaran. Tambahan pula, ICT dapat mendedahkan mereka ini dengan cabaran-cabaran baru dalam dunia pendidikan mereka hasil daripada penggunaan ICT. Bagi mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi oleh guru, pelbagai usaha akan dilaksanakan supaya ICT dapat digunakan dengan sepenuhya. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT) merujuk kepada kebolehan guru mengintegrasikan aspek pedagogi, psikologi dan teknologi dalam pengajarannya serta kemampuan pelajar mengakses dan belajar dari bahan yang disediakan.. Pengetahuan dan kemahiran penggunaan komputer merupakan faktor penting ke arah pembentukan sikap positif terhadap komputer yang masih kurang dalam kalangan guru. Oleh itu, kejayaan pengajaran dan pembelajaran ini terletak di atas sejauh mana dasar, galakan, kemudahan prasarana yang dibekalkan dan pemantauan yang dilaksanakan dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Tahap Kemahiran dan Pengintegrasian ICT di kalangan Guru Sekolah

Teknologi menjadi alat dan pengupaya utama bagi menghasilkan pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan yang teratur dan mantap. Majoriti guru mempunyai kemahiran yang tinggi terhadap beberapa aplikasi dan sememangnya guru hendaklah mempunyai kemahiran ini agar dapat digunakan semasa pengajaran dan pembelajaran kerana dunia semakin moden. Kebanyakan individu mudah menerima inovasi ini kerana terdapat keserasian dengan nilai, pengetahuan, dan kemahiran yang sedia ada serta sesuai dengan keperluan mereka. Oleh itu, guru hendaklah sering menggunakan aplikasi berkaitan dengan teknologi bagi kerja perkeranian dan pentadbiran serta penyediaan bahan yang berkaitan  dengan pengajaran dan pembelajaran seperti kertas ujian dan peperiksaan.



            Selain itu, guru harus mahir dalam menggunakan aplikasi sebagai contoh hamparan elektronik, persembahan elektronik dan internet untuk memudahkan pengajaran dan dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik minat pelajar untuk belajar dengan adanya animasi pada slaid semasa proses pembelajaran berlaku sebagai contoh Microsoft PowerPoint. Pada masa yang sama, pelajar juga dapat menggunakan aplikasi ini ketika pembentangan individu atau kerja berkumpulan. Hal ini kerana, dapat mengukuhkan pendekatan pengajaran berpusatkan pelajar yang menyemai nilai pendidikan yang positif di samping dapat meningkatkan kemahiran koleberasi dengan rakan yang lain. Pihak atasan wajib memantau agar semua guru mempunyai kemahiran teknologi bagi memastikan kejayaan pelaksanaan program teknologi di sekolah. Sekolah pada masa kini amat mementingkan teknologi maklumat komunikasi dan teknologi maklumat komputer.



            Guru yang menguasai kemahiran ICT  ini dapat memaksimakan kelebihan yang ada pada teknologi untuk dijadikan pengajaran yang menarik, interaktif serta berkesan dan melaksanakan tugas-tugas peribadi atau pengurusan dan sebagai satu kelebihan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran. Dengan menerapkan elemen tekonologi ini, dapat mengelakkan para pelajar daripada berasa kebosanan semasa belajar malah ia menambahkan minat pelajar dan perasaan ingin mencuba sesuatu yang baru semasa proses pengajaran berlaku. Penggunaan bahan teknologi ini dapat menggambarkan atau memberikan gambaran menerangkan maksud sebenar sesebuah perkataan yang bersifat abstark. Penggunaan ICT mampu meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan sesuatu system pengurusan.

Monday, 16 May 2016

Sikap Terhadap Komputer Dalam Kalangan Pelajar ICT

Dalam usaha melahirkan generasi warga Malaysia yang celik ICT dan mampu bersaing di peringkat global, pelajar-pelajar kelas ICT perlu mempunyai sikap yang positif terhadap komputer. Ini merupakan permulaan yang baik untuk pelajar ini menempuh arus kemodenan yang semakin mencabar dalam bidang pendidikan. Ini juga menunjukkan bahawa penggunaan komputer sebagai media utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran ICT dapat diterima baik oleh pelajar.

Sikap yang positif ini juga penting terutama apabila penggunaan komputer telah diperluaskan ke dalam pelbagai mata pelajaran seperti Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Perakauanan. Di dalam erti kata lain, apabila pelajar telah mempunyai sikap yang positif terhadap komputer, maka mereka juga akan mudah menerima apa jua subjek yang diajar menggunakan komputer. Oleh itu, usaha dan pemantauan daripada pelbagai pihak adalah perlu untuk mengekalkan tahap yang tinggi pada sikap pelajar terhadap komputer dan untuk memastikan komputer terus digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.






Antara usaha yang boleh dilakukan adalah guru-guru di sekolah boleh memberi penerangan tentang kemampuan dan kepentingan teknologi komputer kepada pelajar dan masyarakat pada masa sekarang dan masa akan datang. Selain itu, penerangan tentang peluang pekerjaan yang boleh diceburi bagi mereka yang menguasai kemahiran dalam teknologi komputer juga penting bagi membentuk sikap yang positif terhadap komputer. Pihak kementerian juga boleh menyumbang dan membantu bagi menambah infrastruktur dan kemudahan komputer di sekolah untuk memudahkan lagi capaian pelajar terhadap computer.

Dengan ini pelajar bertambah yakin dan mempercayai peranan komputer dalam kehidupan mereka. Apabila kepercayaan terhadap komputer telah terbentuk, secara tidak langsung mendorong pelajar untuk menggunakan teknologi komputer dalam kehidupan seharian.




Pengajaran Masa Hadapan Menggunakan Teknologi Augmented Reality Dalam Pendidikan Bahasa Melayu

Jelas sekali tentang tahap kesedaran guru Bahasa Melayu terhadap teknologi Augmented Reality’ (AR) dalam pendidikan di paras yang rendah. Sungguhpun begitu, tidak menafikan bahawa teknologi AR sesuai digunakan dalam pendidikan umum dan khususnya dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Bahasa Melayu.




Oleh demikian, guru-guru pendidikan Bahasa Melayu perlu diberi pendedahan terhadap teknologi AR untuk digunakan sebagai media pengajaran alternatif selain daripada kaedah biasa yang digunakan. Memandangkan terdapat beberapa kenkangan kemahiran teknikal dalam penghasilan sendiri bahan bantu mengajar, pihak tertentu seperti Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diharapkan dapat membantu bagi menyediakan lebih banyak kajian dan penghasilan bahan bantu belajar kepada guru-guru.



Guru Bahasa Melayu juga perlu bersedia dari segi kemahiran ICT yang diperlukan dalam pembangunan aplikasi AR dan mengenal pasti konsep yang sesuai bagi penggunan AR dalam pendidikan Bahasa Melayu, sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah amat perlu dijalankan bagi membolehkan teknologi ini dioptimumkan penggunaannya dalam pendidikan Bahasa Malaysia.



Seterusnya sebarang bentuk media pengajaran masa hadapan diharapkan dapat dijadikan lebih berinovasi, menarik dan berkesan dalam dunia pendidikan Bahasa Melayu.